Thursday, May 28, 2009

Permohonan Herald tangguh perintah larangan guna Allah ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan akhbar mingguan, Herald Catholic Weekly, bagi mendapatkan perintah menangguh keputusan Kementerian Dalam Negeri, melarangnya menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan itu. 

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar penghujahan peguam S Selvarajah dan Porres Royan yang mewakili pemohon, ketua paderi, Datuk Murphy Nicholas Xavier Pakiam dan Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Munahyza Mustaffa dan Andi Razalijaya A Dadi, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri, selaku responden. 

Andi Razalijaya berkata, hakim membuat keputusan itu berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bahawa adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam dan penganut bukan Islam menerbitkan atau menyiarkan perkataan Allah untuk dikaitkan dengan agama selain Islam.

"Hakim berpendapat jika permohonan penangguhan itu dibenarkan, ia ibarat menyokong kesalahan yang akan dilakukan jika Herald diedar di negeri-negeri lain," katanya di luar kamar hakim. 

Pada 24 April lalu, Pakiam mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 7 Januari 2009 bahawa permit penerbitan akhbar itu bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2009, tertakluk kepada syarat bahawa pemohon tidak menggunakan perkataan Allah dalam Herald. 

Pemohon juga dibenarkan memohon sembilan perintah termasuk mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai tidak sah dan melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 

Dalam permohonannya bagi semakan undang-undang, Pakiam memohon antara lain supaya ditetapkan bagi dia mempunyai hak daripada segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam Herald dan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak membenarkan responden melarangnya menggunakan perkataan Allah dalam akhbar itu. 

Hakim Lau menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan semakan undang-undang itu. - Bernama

We endorse the Appeal To Reconsider The Use Of The Word "Allah". Petition to Prime Minister Of Malaysia.

Sign the petition at : http://www.petitiononline.com/sabahan/petition.html


0 Comments: