Wednesday, July 15, 2009

Hakim: PBT Gua Musang tidak sah roboh gereja - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini memutuskan Majlis Daerah Gua Musang secara tidak sah merobohkan sebuah gereja yang dibangunkan untuk Orang Asli di perkampungan mereka.


Susulan itu, Hakim Mohd Azlan Hashim memerintahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membayar pampasan.

"Majlis tempatan telah bertindak secara tidak sah dengan meruntuhkan gereja tersebut tanpa memberikan notis 30 hari (untuk berbuat demikian).

"Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan pihak berkuasa itu membangunkan tanah tersebut dengan bangunan serba guna sebagai tindakan menceroboh," katanya.

Hakim mengarahkan pendaftar mahkamah membuat penilaian ganti rugi teladan dan kos pada suatu tarikh yang ditentukan kemudian.

Komuniti itu diwakili peguam Lum Chee Seng dan N Subramaniyan, sementara penasihat undang-undang negeri Kelantan, Khalid Anwar bertindak bagi pihak majlis daerah itu.

Perjamuan Kudus seret Al-Islam ke balai - Malaysiakini

Roti suci yang diberi makan kepada penganut Kristian menjadi isu besar terhadap wartawan Al-Islam yang menyamar untuk menyiasat dakwaan wujudnya usaha memurtadkan gadis bertudung.

Dalam satu laporan polis minggu lalu terhadap majalah bulanan tersebut, dua penganut Kristian turut meminta roti putih itu dikembalikan kepada pihak gereja. 

Dalam artikel "Tinjauan Al Islam Dalam Gereja: Mencari Kesahihan Remaja Melayu Murtad" yang diterbitkan dalam edisi Mei lalu, roti tersebut diluahkan dari mulut penulis untuk diambil foto.

Dalam aduan Joachim Francis Xavier dan rakannya Sudhagaran Stanley di balai polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang, tindakan wartawan lelaki tersebut juga dianggap menghina Katholik.


"Perbuatan dua lelaki ini iaitu meninjau di dalam gereja, menerima roti putih ini (daripada paderi), meludah keluar roti putih tersebut bagi tujuan mengambil gambar dan kemudian menulis mengenai pengalaman tersebut dalam majalah Al-Islam merupakan perbuatan yang amat menghinakan kepada umat Katholik dan berprovokasi," aduan polis 8 Julai lalu dipetik.

"Kami juga meminta polis supaya pihak Al-Islam mengembalikan secepat mungkin roti putih tersebut kepada pihak atasan gereja."

Mereka juga dilaporkan mendakwa perbuatan wartawan itu sebagai "pencerobohan" satu majlis keagamaan di gereja dan boleh dianggap mempermain-mainkan ajaran agama tersebut.

Joachim memberitahu Malaysiakini dalam program video "Citizen Journalism" semalam, wartawan itu hadir di gereja dengan tanggapan yang salah.

"Isunya ialah mereka mengintip tentang aktiviti gereja yang pada sangkaan mereka menjalankan aktiviti memurtadkan orang Islam tertentu kepada agama Kristian," katanya.


"Jadi mereka datang dalam keadaan andaian yang salah, (dan membuat) laporan salah. Bukan itu sahaja malah mereka juga tidak memahami maksud tubuh Isa."

Sementara Sudhagaran, ditemubual dalam video "Police report against Al-Islam", berkata setelah membelek-belek majalah tersebut, beliau rasa terkejut dan marah dengan gambar roti suci di majalah tersebut sehingga mendorongnya dan Joachim membuat aduan polis.

Artikel Muhammad Ridhwan Abdul Jalil tentang pengalamannya di dua gereja, termasuk sebuah dekat Puduraya, dimuatkan di halaman 28-30 edisi Mei yang menfokuskan isu "Al-Islam Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad".

Bagaimanapun siasatan majalah tersebut tidak menemui isu murtad seperti khabar angin yang sering kedengaran dalam masyarakat Islam.

"Apa pun, sepanjang tinjauan yang dibuat, kami dapati dakwaan-dakwaan yang mengatakan ramai remaja Melayu dimurtadkan di gereja-gereja pada setiap hari Ahad tidak kami temui. 

"Yang ada hanyalah mereka yang berwajah Melayu tetapi berasal dari Sabah yang menganut Kristian sejak lahir," artikel itu dipetik.

Penulis turut memuji akhlak penganut Kristian di gereja.

"Sewaktu kami membuat tinjauan ini, kami berasa amat kagum melihat akhlak mereka yang hadir. 

"Mereka sangat menghormati satu sama lain dan sangat mudah mesra kerana mereka sangat berpegang kepada konsep kasih sayang dan hormat menghormati," tulis Muhammad Ridhwan.

"Mereka turut berjabat tangan dan diikuti dengan senyuman yang manis dengan kami apabila paderi memberi arahan ramah dan mesralah bersama saudara-saudaramu."

9 orang Kristian ditahan di UPM - Malaysiakini

Sembilan penganut Kristian termasuk dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditahan polis semalam berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut.

Mereka yang ditangkap di kampus Serdang menjelang 10 malam tadi dibebaskan di balai polis Sepang kira-kira 3.45 petang ini, kata peguam Annou Xavier kepada Malaysiakini hari ini.

Kesemua mereka ditahan di sebuah bilik pelajar di Kolej ke-10 sewaktu berkunjung ke situ tetapi aduan polis dibuat dengan dakwaan mereka cuba menyebarkan Kristian.

Selain dua mahasiswa, kumpulan itu termasuklah tiga rakyat tempatan dan empat warga Hong Kong.

Tindakan tersebut diambil susulan satu aduan polis yang dibuat oleh lima pelajar UPM terhadap kumpulan tersebut.

Seorang daripada kumpulan itu Yip Bok Wan, selepas dibebaskan, membuat aduan balas di balai polis terbabit, menafikan pembabitan mereka dan menuduh laporan awal berasaskan maklumat palsu.

Beliau dan peguam tersebut enggan memberikan butiran lanjut saat-saat penangkapan mereka. 

Sumber-sumber pelajar memberita Malaysiakini hari ini, kumpulan itu berada beberapa hari di beberapa kolej kediaman UPM dengan bergerak dari bilik ke bilik untuk menyampaikan ajaran mereka.

"Selain itu, mereka juga didapati menyebarkan risalah kepada warga kampus dan bergerak di tiga buah kolej iaitu Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh, dan Kolej Sebelas," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM Safwan Abdul Ghani dalam satu kenyataan.

"Aktiviti yang berlaku beberapa hari itu akhirnya membawa kepada penangkapan sembilan individu tersebut."

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi diperolehi daripada pihak universiti dan polis, setakat ini.

Undang-undang negara melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim.

Wednesday, July 8, 2009

Laman web Rumah Putih, Pentagon diserang penggodam -AFP


WASHINGTON: Berpuluh laman web milik kerajaan Amerika Syarikat, termasuk Rumah Putih dan Pentagon selain di Korea Selatan diserang penggodam siber terancang, menurut pakar keselamatan komputer, semalam.

Ia disahkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Amerika bahawa laman web kerajaan dan swasta negara itu diserang oleh apa yang dinamakan sebagai “distributed denial of service” atau DDoS.

Bagaimanapun, kemeneterian berkenaan enggan memberikan nama laman web yang terjejas atau menjadi sasaran serangan DDos itu.

Serangan DDos bertujuan melemahkan laman web dengan menghantar limpahan trafik atau pelayar yang terlalu ramai memasuki laman yang disasarkan.

“Ia satu serangan yang besar," kata Johannes Ullrich, ketua pegawai teknologi SANS Internet Storm Center.

Beliau mengesahkan serangan yang mirip penggodam itu bermula sejak seminggu lalu.

"Ia bukannya satu serangan yang terlalu rumit. Ia cuma menghantar satu kemasukan trafik yang besar untuk melumpuhkan laman web sehinga menyukarkan ekses.

"Salah satu laman web yang teruk diserang ialah Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika," katanya.

Ullrich berkata, laman web milik kerajaan yang turut diserang ialah Rumah Putih, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam Persekutuan, Agensi Keselamatan Negara, Jabatan Negara, Perkhidmatan Pos Negara dan Jabatan Perbendaharaan Negara.

Laman web Pentagon - defenselink.mil - turut menjadi sasaran serangan itu termasuk laman web tentera Amerika yang berpangkalan di Korea Selatan. - AFP

Serangan siber berpunca dari Korea Utara?
09/07/2009 12:39pm


SEOUL 10 Julai – Korea Utara yang melancarkan ujian peluru berpandu dan mengancam Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, dikenal pasti sebagai suspek dalam serangan siber ke atas laman-laman web milik kerajaan di AS dan Korea Selatan.

Keupayaan pengkomputeran Korea Utara tidak diketahui namun pakar menyatakan bahawa serangan sedemikian adalah mudah dan murah dilakukan dengan bantuan pihak luar.

Serangan-serangan itu mula melumpuhkan laman web di AS pada cuti hujung minggu sambutan Hari Kemerdekaan pada 4 Julai lalu sementara serangan di Korea Selatan bermula dua hari lalu.

Sebuah syarikat keselamatan komputer Korea Selatan menyatakan, satu lagi gelombang serangan siber dijangka berlaku lewat hari ini. – AFP

Thursday, July 2, 2009

Mansuhkan terus ISA, kata PBRS - NST

KOTA KINABALU: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dikaji atau dipinda tetapi sepatutnya dimansuhkan terus, kata seorang pemimpin kanan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Naib Presiden I PBRS, Baharuddin Nayan berkata kerajaan juga tidak perlu mewujudkan Akta baru menggantikan ISA, jika sekiranya ISA dimansuhkan, kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi.

Beliau bagaimanapun menyokong cadangan untuk menyemak semula 32 Akta lain seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini.

“Saya pernah menyuarakan ketidakpuashatian terhadap cara penyampaian Akta ini semasa tahun 1992. Ini kerana saya dapati tahanan ISA tidak diperlakukan dengan baik, dan ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.

“Banyak pihak seperti NGO (badan bukan kerajaan) telah menyuarakan perkara yang sama dan mahu melihat Akta ini dimansuhkan,” katanya kepada.

Baharuddin mengulas kenyataan Hishammuddin bahawa Kementerian Dalam Negeri akan meneliti semula 32 Akta lain selain ISA, yang tidak relevan dengan keadaan semasa.

Ia termasuk Akta Kediaman Terhad 1933, Pencegahan Jenayah 1959, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Benda-benda Kakisan dan Letupan dan Senjata untuk Menyerang 1958, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, Akta Perniagaan Secondhand 1946, Akta Keadilan Jenayah 1953 dan Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1960.