Wednesday, May 27, 2009

Bung Moktar cadang wujud DUN baru di Kinabatangan - NST

KINABATANGAN: Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata beliau telah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri bagi diwujudkan satu lagi kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Kinabatangan.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan tambahan kawasan DUN di kawasan Parlimen itu atas faktor keluasannya yang dianggarkan 70,000 kilometer persegi.

“Saya telah berjumpa dengan SPR dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Amam baru-baru ini untuk memaklumkan tentang cadangan mewujudkan DUN baru itu.

“Ianya bukan bermotifkan untuk menambah wakil rakyat tetapi keluasan kawasan di Parlimen Kinabatangan antara DUN Sukau dan DUN Kuamut membebankan wakil rakyat untuk berkhidmat secara menyeluruh,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan cawangan-cawangan Umno Zon Bukit Garam di sini kelamrin, Bung Moktar berkata faktor keluasan kawasan Parlimen Kinabatangan itu turut menyumbang kepada kesuka-ran pelaksanaan program pembangunan dan wakil rakyat berjumpa dengan rakyat di kawasan itu.

Katanya cadangan beliau bagi diwujudkan DUN baru yang akan dikenali sebagai DUN Bukit Garam itu dikemukakan untuk kepentingan rakyat di kawasan itu.

“Jika cadangan itu diluluskan kelak, saya cukup optimis ia akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan memberi ruang yang luas kepada wakil rakyat untuk berkhidmat secara bijaksana serta dedikasi,” katanya.

Katanya beliau pernah mengemukakan cadangan yang sama sejak lapan tahun lepas tetapi ditolak oleh kerajaan negeri.

“Kini sudah sampai ma-sanya DUN baru itu diwujudkan kerana jumlah penduduk dan pengundi di Parlimen Kinabatangan sudah bertambah,” katanya.

0 Comments: