Wednesday, January 13, 2010

Apakah 'Allah' tidak sesuai daripada 'Tuhan'? - Yohanes Lee

Saya berasa teramat sedih apabila melihat isu penterjemahan nama 'Allah' dalam bahan-bahan bacaan agama Kristian dan juga dalam Al-Kitab bahasa Malaysia telah menjadi semakin tegang dan sampai suatu tahap yang genting.

Saya juga rasa hampa apabila melihat kerajaan Malaysia menolak penggunaan nama 'Allah' dalam bahan-bahan bacaan itu tanpa berdialog dengan pihak yang terlibat.

Segelintir masyarakat pula menyebarkan tanggapan palsu sebelum mengkaji fakta-fakta yang sebenarnya dalam isu ini.

Dengan rendah diri, ingin saya memberi sedikit pandangan dalam isu ini dari segi apakah sebab-sebabnya Kristian perlu 'berdegil' (dari pandangan segolongan rakyat) dalam isu ini menggunakan sebutan 'Allah'.

Pertama, perlu dijelaskan bahawa, bahasa asal Al-Kitab bukanlah bahasa Inggeris atau Latin.

Bahasa asal dalam kitab-kitab Perjanjian Lama Al-Kitab (Torah yang diturun kepada Musa, dan kitab-kitab lain yang diturunkan kepada nabi-nabi lain, sebelum Masihi), ialah Ibrani atau Hebrew.

Sebahagian kecil penganut awal agama itu berbahasa Aramik (Aramaic). Bahasa ini seperti bahasa Arab, ialah suatu cabang bahasa semitik di Timur Tengah.

Nama yang utama dan lazim digunakan untuk menyebut Tuhan yang Esa, yang menjadikan alam semesta, adalah Elohim, Eloah, Elohei atau saja Eli - terbitan kata daripada sebutan asal Eloh (Alah atau aleph-lamedh-he).

Pada zaman Isa Al-Masih (Jesus), umat di Timur Tengah yang berbahasa Aramik biasanya hanya sebut Eloh. Sebutan ini telah dikenali umum sebagai Tuhan yang Esa yang disembah oleh umat Ibrani (daripada keturunan Ibrahim, termasuklah bani-bani Ishak dan Ismail).

Maka, tidaklah menghairankan apabila Yahudi dan Kristian yang berbahasa Arab, dan juga bahasa Aramik (termasuklah loghat-loghatnya), menggunakan sebutan Allah, Alah, Elah atau Eloh (ejaan: aleph-lamedh-he).

Sebutan ini juga digunakan hingga ke zaman nabi Muhammad dan zaman kini.

Apabila kitab-kitab Injil atau Gospel diriwayatkan, dikitabkan oleh para pengikut Al-Masih, ia mengunakan bahasa lingua franca di Timur Tengah dan Mediterranean zaman itu iaitu bahasa Yunani (Greek) di bawah empayar Roman.

Maka, perkataan yang paling sesuai digunakan ialah Theos yang sedia difahami oleh orang-orang zaman itu.

Justeru itu, penterjemahan Al-Kitab mengambil kira kefahaman pembaca terhadap makna dan maksud asal yang hendak disampaikannya. Dengan ini aleph-lamedh-he diterjemah kepada Dues (dalam bahasa Latin), God (dalam bahasa Inggeris), Shàng dì (dalam bahasa China) dan sebagainya.

Maka, apabila Al-kitab dan ajaran Kristian dibawa ke rantau Nusantara yang bahasa pertuturan umumnya bahasa Melayu (pada masa itu masih dalam huruf jawi yang berasal daripada bahasa Arab), dan perlu memilih suatu nama yang paling tepat dan sedia difahami oleh pelbagai suku kaum di sini, apakah perkataan yang paling jitu?

Naskhah terawal yang diterjemahkan oleh Leydekker pada tahun 1733, dan juga naskhah penterjemahan Munshi Abdullah & Keasberry, terbitan 1856 dalam tulisan Jawi, dan banyak lagi penterjermahan lain, semuanya menggunakan nama 'Allah' dalam Al-Kitab.

Isunya di sini, bukannya apakah tepat atau sesuai perkataan 'God' dalam Al-Kitab berbahasa Inggeris diterjemahkan kepada istilah 'Allah' dalam bahasa Melayu.

Isunya sekarang, apakah tepat dan sesuai nama Eloh atau Alah (ejaan: aleph-lamedh-he) dalam bahasa asal Al-Kitab yakni bahasa Ibrani dan Aramik diterjemahkan kepada nama 'Allah' dalam bahasa Melayu - nama itu sendiri berasal daripada bahasa Arab.

Bukankah Islam percaya bahawa Allah telah sekian lama disembah oleh nabi-nabi sebelum Muhammad?

Sebutan yang dilafazkan oleh nabi-nabi sebelum Muhammad dan umat-umatnya untuk merujuk Yang Maha Agung, Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Berkuasa seperti berikut:

- 'Eloh' dalam bahasa Ibrani, yang diguna pada zaman nabi Musa dan sebagainya.
- 'Alah' dalam bahasa Aramik, yang diguna pada zaman Jesus (Isa Al-Masih)
- 'Allah' dalam bahasa Arab, yang diguna oleh umat Yahudi dan Kristian Arab sebelum Muhammad, dan kemudian oleh baginda sendiri.
Bukankah perkataan-perkataan ini semua nama yang sama? Hanya berlainan bunyi sedikit kerana cabang-cabang bahasa dengan rumpun yang sama, yakni bahasa semitik.

Dengan latar belakang perkembangan bahasa seperti dipaparkan di atas, saya ingin bertanya secara jujur kepada orang Melayu yang beriman dan berilmu, bukankah sebutan 'Allah' (ejaan: alif-lam-ha) itu paling tepat kepada kata asal ejaan aleph-lamedh-he?

Apakah ada perkataan lain yang lebih tepat dalam makna dan maksudnya berbanding dengan nama 'Allah' dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu?

Istilah 'Allah' jauh lebih tepat dan padan, dari segi sebutan dan ejaannya, daripada gelaran umum 'Tuhan'.


Yohanes Yee, hampir 40, berasal dari Kedah, sekarang bermastautin dan berkerja dalam bidang perubatan di Selangor. Penulis seorang Kristian yang prihatin dalam isu-isu semasa tetapi bukan pakar agama.

Thursday, January 7, 2010

Kami guna 'Allah' ratusan tahun, kenapa halang?

Penggunaan nama Allah dalam menterjemahkan Bible (bahasa Inggeris) ke Alkitab (bahasa Melayu) dibuat oleh mereka yang datang menyebarkan Injil di Borneo beratus-ratus tahun dahulu. Orang-orang ini datang dari Australia dan Britain.

Saya sendiri tidak tahu mengapa mereka memilih nama Allah sebagai terjemahan God dalam Alkitab. Kemungkinan mereka merujuk Alkitab edisi bahasa Arab dan memutuskan untuk menggunakan nama yang sama seperti yang digunakan oleh orang Kristian Arab.

Lagi pun orang Kristian Arab muncul lebih awal daripada orang muslim Arab. Katakan, mereka menggunakan nama lain pada masa mula-mula Alkitab diterbitkan dalam bahasa Melayu, kami orang Kristian dari suku-suku minoriti di Sarawak akan terima sahaja.

Saya pasti pada masa itu, ketika Sarawak belum bergabung dengan Malaya, tiada masalah menggunakan nama Allah sebab tiada halangan dan larangan daripada sesiapa.

Sekarang sudah sekian lama kami menggunakan nama Allah dalam semua ibadah, doa, nyanyian, serta penulisan dan penerbitan. Amalan ini terbawa-bawa sehingga terbentuknya Malaysia.

Kalaulah orang Sarawak yang berkepercayaan Kristian tahu bahawa mereka akan dihalang menggunakan nama Allah setelah bergabung dengan Malaya, saya fikir, belum tentu terbentuk sebuah negara Malaysia.

Dalam hujah peguam yang mewakili Herald di mahkamah, mereka menunjukkan bukti bahawa sudah ada bahan terbitan Kristian dalam bahasa Melayu sejak lebih kurang 400 tahun yang lampau. Maka dakwaan orang muslim Malaysia bahawa orang Kristian di Malaysia baru sahaja hendak menggunakan nama Allah adalah tidak berasas.

Nama Allah sudah lama kami gunakan. Kenapa sekarang, orang muslim Malaysia hendak menghalang kami daripada menggunakan nama Allah yang sudah sekian lama kami guna pakai, malah sebelum terbentuknya Malaysia lagi?

Suku-suku peribumi di Sarawak tidak fasih berbahasa Inggeris. Oleh sebab itu mereka tidak mampu memiliki Alkitab dalam bahasa Inggeris yang dipanggil Bible. Namun mereka boleh memahami bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

Pada masa sama, agak sukar untuk terjemahkan Bible ke bahasa ibunda suku masing-masing kerana kekurangan pakar bahasa di kalangan mereka.

Maka, untuk memudahkan orang Kristian daripada suku-suku peribumi ini dapat memperdalamkan pengetahuan mereka dalam kepercayaan Kristian, mereka perlu memiliki satu Bible yang diterjemahkan dalam bahasa yang mereka fahami, iaitu bahasa Melayu loghat Indonesia.

Pada masa itu, orang Melayu di Malaya belum dikenali sangat oleh suku-suku peribumi Sarawak ini, begitu juga bahasa mereka. Maka, mereka mendapat terjemahan Bible dalam bahasa Indonesia yang dipanggil Alkitab Suci.

Kandungan Bible yang merujuk kepada Lord God juga diterjemah sebagai Tuhan Allah tanpa ada sebarang masalah. Ia diterima dengan aman dan sukacita. Saya yakin Alkitab pada masa itu dicetak di Indonesia, dan orang muslin di Indonesia tidak pernah dikelirukan iman mereka sampai sekarang.

Pada tahun 16 Sept 1963 maka terbentuklah Malaysia. Sarawak bergabung dengan Malaya membentuk Malaysia.

Sarawak, bersama-sama rakyatnya seperti kami, membawa masuk kepercayaan Kristian kami ke dalam kelompok rakyat Malaysia. Kami tidak pernah diarahkan supaya berhenti guna nama Allah selepas bergabung dengan Malaysia.

Kami pun tidak terfikir bahawa suatu hari nanti orang muslim Malaysia akan melarang kami menggunakan nama Allah kerana kami sedia maklum bahasa perkataan Allah adalah dipetik dari bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Sehinggalah sekarang, baru kami tersentak dan terkejut. Kami dilarang menggunakan nama Allah dalam Alkitab, dalam semua penulisan dan penerbitan Kristian.

Sudah sekian lama kami sudah panggil Dia yang kami sembah sebagai Tuhan Allah, dan sekarang ia dilarang pula. Saya kasihan memikirkan tentang nenek, datuk dan ibu bapa kami di kampung yang tidak tahu-menahu bahawa mereka dilarang menyebut nama Tuhan Allah.

Bagaimana kami cucu-cuc dan anak-anak mereka hendak menerangkan kepada mereka mengenai larangan ini? Mereka sudah tentu akan menjawab, "sudah sekian lama kita menyebut nama Tuhan Allah, kenapa sekarang tidak boleh?"

Saya yakin, walau dilarang sekalipun, mereka akan tetap menyebut nama Tuhan Allah sampai bila-bila sebab perkataan itu adalah nama yang mereka sebut sejak turun-temurun.

Generasi terkini, yang fasih berbahasa Inggeris, tidak mempunyai masalah kerana mereka mampu mengerti Alkitab dalam bahasa Inggeris iaitu Bible dan boleh menghadiri kebaktian atau semua aktiviti ibadah, doa, nyanyian dalam bahasa Inggeris di mana-mana tanpa perlu menyebut Allah, melainkan Lord God.

Tetapi orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris terpaksa menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Pada masa dulu, setelah mengikuti sekolah di bawah kerajaan Malaysia, semakin ramai anak-anak generasi masa itu fasih berbahasa Melayu.

Apabila bahasa Malaysia menjadi semakin digunakan berbanding bahasa Indonesia, maka wujud satu generasi yang kurang memahami bahasa Indonesia tetapi lebih memahami bahasa Malaysia.

Maka, diusahakan satu terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia yang masih mengekalkan nama Allah. Salah satu Alkitab terjemahan bahasa Malaysia ada pada simpanan saya dan itulah Alkitab yang sentiasa saya gunakan.

Di kampung sendiri mungkin boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri, tetapi nama Tuhan Allah tetap digunakan. Sebab dalam bahasa ibunda, tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggantikan nama Allah. Lagipun kami sudah sebati dengan nama ini kerana sudah dipakai sejak turun-temurun.

Mungkin ada suku-suku yang telah memilih nama khas dalam bahasa mereka untuk tujuan terjemahan dalam bahasa masing-masing, tapi dalam bahasa suku saya, belum ada.

Jadi dalam kes suku saya, masih kena menggunakan nama Tuhan Allah, lagi pun suku saya kekurangan perkataan. Banyak perkataan yang dipinjam daripada suku atau bangsa lain. Berbeza di bandar, anggota sesebuah gereja itu terdiri daripada pelbagai suku bangsa.

Ada gereja yang mengadakan dua sesi kebaktian pada hari Ahad, satu sesi untuk penutur bahasa Inggeris, satu sesi untuk mereka berbahasa Malaysia. Ada juga yang mengadakan sesi untuk bahasa Cina dan Tamil, bergantung kepada keperluan bahasa dalam gereja itu.

Di bandar, saya menghadiri sesi berbahasa Melayu sebab saya kurang fasih berbahasa Inggeris. Dalam gereja terdapat pelbagai suku bangsa, maka kena menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami semua orang. Jadi, cuba fikirkan?

Sampai hatikah orang muslim Malaysia memaksa orang-orang seperti saya daripada suku-suku minoriti yang lemah ini berhenti memanggil Tuhan mereka dengan nama Tuhan Allah? Jangan lupa bahawa kami sudah lama, malah sebelum terbentuknya Malaysia, telah memanggil Tuhan yang kami sembah dengan nama Tuhan Allah.

Andai kata kami semua fasih berbahasa Inggeris, saya yakin Bible tidak akan diterjemah ke bahasa Indonesia atau bahasa Melayu.

Andai kata pada masa dulu orang yang mula-mula menterjemahkan Bible kepada bahasa Indonesia atau bahasa Malaysia memilih nama lain untuk terjemahkan God, dan bukan Allah, kami tidak kisah asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi serta segala isinya, manusia iaitu Adam dan Hawa.

Asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh Nabi Abaraham, Isak dan Yakub, Tuhan yang disembah oleh Nabi Noh, Tuhan yang disembah oleh Nabi Musa yang membawa orang Israel keluar dari tanah Mesir, Nabi Harun, Tuhan yang disembah oleh Maria (bukan Nabi) yang melahirkan Yesus (Nabi Isa) secara luar biasa tanpa persetubuhan.

Bagi kami, nama itu tidak penting, yang penting kami menyembah Tuhan yang sama seperti yang disembah oleh Nabi-nabi yang tersebut tadi.

Namun begitu, nama Allah sudah turun-temurun kami guna pakai untuk berseru kepada Tuhan yang disembah Nabi Abraham dan Nabi-Nabi lain. Sudah sebati di hati kami.

Kami boleh saja tukar nama itu bila-bila masa. Tetapi, sudah sekian lama kami memanggil nama Allah, malah sebelum Sarawak bergabung dengan Malaya.

Bukankah pelik bagi seseorang kalau dipaksa menukar nama yang selalu disebutnya untuk berseru kepada Tuhannya kepada nama lain?

Begitulah sedikit komen dari saya. Saya tidak berniat hendak berdebat atau menyinggung perasaan atau memperlekehkan mana-mana pihak.


Siong Tet, seorang penganut Kristian daripada suku minoriti Kenyah Badeng di Sarawak. Artikel ini disiarkan di sini, dengan suntingan, bagi menggalakkan interaksi idea atau dialog berhubung polemik dan kontroversi hangat isu 'Allah'.